PETALING JAYA – Setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara ‘one-off’ melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Berita baik itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia sebentar tadi.
Beliau berkata, pemberiaan RM100 secara ‘one-off’ itu adalah bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025 yang mana ia boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember ini.
“Ia bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya semasa pengumuman tersebut yang disiarkan secara langsung hari ini.
Anwar berkata, ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Ini bermakna, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025.
“Ini merupakan langkah pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE