fbpx
NOR AIDILLA terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu akibat menderita penyakit buah pinggang kronik di Rompin.

‘Saya rindu nak bekerja macam dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – “Sesak nafas, badan lemah dan tak mampu berdiri lama, saya rindu nak bekerja macam dulu.”

Itu luahan Nor Aidilla Zubir, 35, seorang ibu muda dari Felda Keratong 10, di sini yang kini bergantung kepada rawatan hemodialisis tiga kali seminggu selepas disahkan menghidap sakit buah pinggang kronik tahap akhir.

Lebih memilukan, Nor Aidilla kini bukan sahaja tidak mampu bekerja, malah terpaksa me­numpang rumah ibunya yang juga pesakit buah pinggang kronik serta sama-sama menjalani rawatan dialisis.

“Kami sama-sama sakit, mak pun jalani dialisis tetapi dia tetap kuat bantu saya dan cucunya,” katanya sebak ketika ditemui Kos­mo! di sini semalam.

Sebelum ini dia bekerja sebagai penyelaras perkhidmatan di sebuah syarikat pemasaran di Lembah Klang, namun terpaksa melepaskan kerjaya selepas kesihatannya merosot secara mendadak sejak Julai tahun lalu.

“Penyakit itu mula dikesan secara tidak dijangka selepas menjalani pemeriksaan gastrik awal Januari 2024.

“Imbasan mendapati buah pinggang saya rosak secara mengejut dan memerlukan rawatan segera,” katanya.

Nor Aidilla perlu menjalani rawatan di Pusat Dialisis Fitra Muadzam Shah tiga kali seminggu dengan kos RM280 setiap sesi.

Kos itu sebahagiannya ditanggung Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selama setahun, namun selebihnya perlu dibayar sendiri.

“Kos ulang-alik pun besar, perjalanan hampir 40 kilo­meter dari rumah. Jika dikira tambang, ubat, makanan khas, semuanya lebih RM1,000 sebulan. Itu belum ma­suk kos jangka panjang,” katanya.

Dia bergantung sepenuhnya kepada suami, Mohd. Zulaili Zainudin, 33, merupakan pembantu gudang di ibu kota yang hanya mampu pulang sekali seminggu menjenguknya dan anak.

“Apa yang merisaukan kini adalah kos prosedur membuat tapak saluran darah kekal dianggarkan lebih RM5,000 kerana rawatan ketika ini hanya menggunakan tebukan di leher yang berisiko tinggi jika tertangguh.

“Anak kami, Mohd. Aidil Zhafran, baru lima tahun, dia masih kecil, perlukan perhatian. Saya sedih sebab tak mampu layan dia macam dulu.

“Saya bukan hendak tagih simpati, cuma mohon sedikit ruang dan bantuan untuk terus hidup. Saya nak sihat, nak besarkan anak, nak jadi ibu yang sempurna walaupun dengan kudrat yang sangat terbatas,”ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Aidilla di talian 013-234 4087 atau menyumbang ke akaun Maybank 1624-8715-8949. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI