RIYADH – Cristiano Ronaldo dijangka melancarkan misi memburu ‘kasut emas’ Piala Dunia 2026 apabila fokus utama bintang veteran Portugal itu kekal untuk mencipta rekod demi rekod walaupun sudah mencecah usia 40 tahun.
Ronaldo dijangka membuat penampilan keenam dalam pentas final pada musim panas tahun depan, sekali gus menambah satu lagi rekod dalam koleksi pencapaiannya bersama Portugal.
Setakat ini, Ronaldo telah menjaringkan 138 gol dalam 221 penampilan antarabangsa menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Meskipun pernah menjulang trofi Euro dan dua gelaran Liga Negara-Negara Eropah, namun trofi Piala Dunia kekal atu-satunya kejuaraan yang belum pernah dimenangi oleh Ronaldo sepanjang karier gemilangnya.
Kini, dengan kontrak baharu selama dua tahun bersama gergasi Arab Saudi, Al-Nassr, Ronaldo masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu bersara dan ingin menamatkan karier dengan kejayaan di pentas tertinggi dunia.
Kemenangan Piala Dunia akan menyaksikan Ronaldo menyamai pencapaian seteru utamanya yang juga pemenang Ballon d’Or, Lionel Messi dengan kini dilihat meniru gaya permainan ikonik bintang Argentina itu lebih fokus kepada penyudah berbanding larian tanpa henti seperti dahulu.
Menurut bekas penyerang England, Emile Heskey, keinginan Ronaldo untuk terus mencipta rekod menjadikan peluangnya memburu ‘kasut emas’ Piala Dunia 2026 tidak boleh dipandang ringan.
“Sasaran tunggalnya untuk memecah rekod dan saya rasa dia masih ada kemampuan dan peluang untuk melakukannya sekali lagi di Piala Dunia.
“Dia tidak lagi berlari ke sana sini seperti dahulu. Sekarang dia tahu di mana perlu berada dalam kotak penalti.
“Pasukan akan bekerja untuk menghantar bola ke arahnya, dan dia masih boleh menjaringkan gol. Pergerakannya di dalam kotak masih hebat, walaupun tidak banyak daripadanya di seluruh padang,” katanya.
Tambahnya, aspek kecergasan fizikal menjadi keutamaan buat Ronaldo pada ketika ini untuk memastikan dia dapat kekal di tahap tertinggi dan bermain sehingga 90 minit.
Untuk rekod, Ronaldo secara terbuka menyasarkan untuk mencapai jumlah 1,000 gol sebelum menggantung kasut but, dengan aksi bersama Portugal dan Al-Nassr akan terus menyumbang kepada misi tersebut. – AGENSI