PETALING JAYA – Peneraju pusat pendidikan awal kanak-kanak, YelaoShr menyasarkan untuk membuka kira-kira 300 cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2028.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif YelaoShr, Dr David Yap Wing Fai, berkata, sasaran itu selaras dengan pengiktiran sebagai francais yang berlesen yang diperolehi serta penyertaan seramai 66 pemegang francais baharu dari seluruh negara.
Jelasnya, langkah itu juga menunjukkan evolusi YelaoShr daripada penyedia pendidikan awal kanak-kanak tempatan kepada sebuah model perniagaan terancang dan berskala.
“Sasaran 300 cawangan menjelang 2028 bukan semata-mata angka, tetapi 300 kisah kejayaan yang mengubah kehidupan. Francais bukan sekadar model perniagaan bagi kami, ia adalah misi pemberdayaan.
“Kami mahu lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya para wanita, pendidik dan golongan profesional muda untuk memiliki dan mengendalikan pusat pendidikan dengan sistem yang terbukti, disokong sepenuhnya oleh ibu pejabatdan memberi impak yang bermakna,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, francais yang dilaksanakan dengan betul bukan sekadar model perniagaan, tetapi ia mampu menjana impak sosial secara meluas.
“Bila kita francaiskan satu idea yang baik, kita gandakan manfaatnya, bukan sekadar keuntungan, tetapi juga dari segi capaian, kebolehcapaian dan peluang,”katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa YelaoShr sedang mengintai peluang ke pasaran serantau seperti Thailand, Kemboja dan Singapura.
Ditubuhkan pada 2005, YelaoShr kini dalam peringkat prapermulaan tawaran awam dan menyasar untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi.-KOSMO! ONLINE