KOTA BHARU – Perjumpaan kumpulan songsang di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini tiada penglibatan atau penganjuran daripada badan rasmi seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik kesihatan atau Kementerian Kesihatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menegaskan, tiada sebarang maklumat yang menunjukkan program itu mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berautoriti.
Menurutnya, tindakan pihak polis adalah berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah tanpa sebarang niat diskriminasi.
Beliau berkata, maklumat yang dterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mendapati satu perjumpaan dan pesta gay akan diadakan di Kota Bharu.
“Hasil risikan dan temubual awam yang dijalankan oleh Pasukan Task Force PDRM Kelantan mendapati jemputan ke program itu datang melalui WhatsApp dalam kumpulan tertentu.
“Pada hari kejadian, Pasukan Task Force telah memantau di kediaman tersebut bermula pukul 5.00 petang dan meningkat kepada seramai kira-kira 100 orang pada pukul 8 malam dikesan hadir ke lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, mereka melakukan aktiviti makan dan sembang-sembang santai sebelum majoriti pengunjung telah meninggalkan lokasi terbabit kira-kira pukul 11 malam.
Menurutnya, pasukan serbuan telah mengambil langkah berjaga-jaga dan hanya menjalankan tindakan pada pukul 1 pagi bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa risiko kepada keselamatan awam.
“Semasa serbuan dijalankan, pihak polis mendapati seramai 20 orang lelaki berada di premis berkenaan dan mereka mengaku merupakan komuniti gay.
“Selain itu,didapati tiada wakil dari pegawai NGO, atau wakil mana-mana agensi kesihatan kerajaan hadir termasuk pihak Kementerian Kesihatan.
“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan pihak polis adalah berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah tanpa sebarang niat diskriminasi.
“Tujuan utama PDRM adalah menjaga ketenteraman awam dan juga nilai moral masyarakat. Pihak polis berharap penjelasan ini dapat menepis kekeliruan serta spekulasi yang tular,” katanya. – KOSMO! ONLINE