GEORGE TOWN – Terpedaya dengan janji pulangan lumayan atas talian, seorang penyelia stor kerugian lebih RM600,000 selepas menyertai skim pelaburan palsu menerusi aplikasi dikenali sebagai XGI Horizon.
Mangsa berusia 56 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan pada 21 Julai lalu selepas menyedari dirinya ditipu.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, berdasarkan siasatan, mangsa telah melihat iklan pelaburan tersebut menerusi aplikasi Facebook pada Februari lalu dan kemudian berhubung dengan seorang lelaki menerusi WhatsApp.
“Suspek memperkenalkan aplikasi XGI Horizon yang kononnya menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Mangsa yang terpedaya telah memuat turun aplikasi itu dan membuat pendaftaran sebagai ahli.
“Seterusnya, dari 18 Februari hingga 24 April lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 31 transaksi ke dalam 10 akaun syarikat berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM624,617.00,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -KOSMO! ONLINE