SUBANG JAYA – Kepimpinan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka membuat penilaian terhadap 38 pesawat F/A-18 Legacy Hornet di Kuwait pada September ini.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat sebagai pengeluar pesawat berkenaan.
“Setelah pihak negara pengeluar memberikan kelulusan untuk perolehan, TUDM kini boleh melihat dokumen dan rekod berkaitan pesawat dan kami telah mempersiapakan pasukan untuk membuat penilaian di sana.
“Mereka dijangka berlepas ke Kuwait September ini untuk menilai kesesuaian pesawat ini untuk dibeli, proses penilaian dijangka mengambil masa antara tiga mingga minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampai Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-21 di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini
Muhamad Norazlan berkata, penilaian berkenaan adalah penting bagi melihat aspek kesesuai pesawat berkenaan terutamanya melibatkan isu penyelenggaraan.
“Seprti sedia maklum pesawat ini merupakan pesawat terpakai. Kita perlu melihat dari pelbagai aspek seperti penyelenggaraan di masa hadapan.
“Tiada guna jika kita mampu beli dalam jumlah yang banyak tetapi tidak mampu untuk menyelenggara pesawat ini untuk operasi kita,” ujarnya.
Katanya, jangkaan penyerahan pesawat berkenaan bergantung kepada Tentera Udara Kuwait menerima pesawat F/A-18E/F Super Hornet.
“Saya difahamkan kalau dapat empat pesawat dapat diserahkan kepada Kuwait kita akan terima empat buah pesawat, jika mereka (Kuwait) terima lapan pesawat kita (TUDM) juga akan terima lapan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE