ATHENS – Sekumpulan aktivis pro-Palestin di Pulau Syros, Greece menghalang penumpang-penumpang Israel daripada turun dari sebuah kapal persiaran semalam, lapor laman berita The New Arab.
Kapal MS Crown Iris merupakan kapal persiaran kendalian Israel yang mengibarkan bendera Panama. Ia belayar dari Haifa pada Ahad lalu sebelum singgah di Rhodes, Greece.
Kapal tersebut dijadualkan membenarkan penumpang-penumpang turun di Syros antara waktu tengah hari hingga pukul 6 petang (waktu tempatan).
Namun, kira-kira 300 aktivis berkumpul di dok dengan mengibarkan bendera Palestin dan memegang sepanduk tertulis ‘Hentikan Genosid’.
Keadaan itu memaksa kapal tersebut mengalihkan tempat ia berlabuh.
Rakaman video tular di media sosial memaparkan beberapa penumpang bertindak balas dengan mengibarkan bendera Israel dan melaungkan slogan pro-Israel.
Media Greece menyatakan protes itu diadakan secara aman.
Pihak berkuasa pelabuhan tempatan menempatkan polis di dok untuk mengelakkan sebarang pertempuran tetapi tiada penunjuk perasaan menaiki kapal dan tiada tangkapan dilaporkan. – AGENSI