TAPAH – Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa tiga lelaki warga emas di Kilometer 328.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini semalam, direman tiga hari.
Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Anis Zainab Pawanteh dalam prosiding permohonan reman di Mahkamah Majistret Tapah hari ini.
Reman yang dikenakan terhadap suspek berusia 31 tahun itu membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi semalam, tiga lelaki warga emas maut selepas kereta Proton X50 yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 31 tahun.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Cong Ong, 77; Teh Kim Kai, 76 dan Tan Ah Tak, 70.
Kejadian itu turut mengakibatkan seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga Singapura yang berada di dalam kereta cedera parah manakala pemandu kenderaan berusia 71 tahun pula cedera ringan. – KOSMO! ONLINE