fbpx
MOHD. Na’im (kiri) menziarahi Mohd. Lutfi (kanan) yang terlibat nahas dengan bas membawa pelajar UPSI di Gerik, Perak dalam Program Ziarah Madani Peduli di Bukit Banyan, Sungai Petani semalam.

Pemandu Alza terbayang kembali nahas setiap kali diekori bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Pemandu Perodua Alza yang terlibat nahas dengan bas membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu memberitahu dia akan terbayang kembali tragedi itu setiap kali ada bas mengekori kenderaannya dari belakang.

Menurut Mohd. Lutfi Radzi, 37, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di Baling, dekat sini, dia akan teringatkan kembali nahas yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI itu terutama apabila terlihat lampu bas yang mengekori kenderaannya.

“Setiap kali memandu kereta pada waktu malam dan terlihat lampu bas yang mengekori dari belakang, saya akan teringat tragedi menimpa kami sekeluarga pada 9 Jun lalu,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang turut menyampaikan sumbangan RM10,000 di bawah Program Ziarah Madani Peduli di sini semalam.

Katanya, perasaan traumanya itu semakin pulih, namun kejadian itu bukan mudah untuk dilupakan terutama jika dia sekeluarga perlu menggunakan jalan tersebut untuk pulang ke kampung isterinya di Kemaman, Terengganu.

“Walau apa pun memang kami terpaksa guna jalan itu (Jalan Raya Timur-Barat) yang sudah tujuh tahun menjadi laluan kami sekeluarga cuma lega apabila trauma terhadap kejadian itu sudah tiada,” ujarnya.

Kata Mohd. Lutfi, isterinya, Nurul Ain Zakaria, 36, yang juga guru dan mengajar di SK Tembak, Baling serta anak sulung berusia enam tahun sudah boleh melakukan pergerakan ringan dan tidur dengan baik setelah masing-masing patah lima tulang rusuk dan retak tulang paha.

“Kedua-dua mereka masih bercuti dan dijangka kembali ke sekolah pada September nanti. Anak sudah boleh jalan sendiri, cuma tak boleh pijak kaki satu lagi dan isteri pun sudah boleh buat kerja-kerja ringan seperti menyapu sampah.

“Anak bongsu kami pula hanya mengalami lebam dan luka di kepala dan badan, dia pun sudah pulih termasuk saya yang cuma cedera ringan di dada dan bahu,” jelasnya.

Dalam kemalangan berhampiran Tasik Banding itu, seramai 15 penuntut UPSI meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami setelah bas dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Kesemua mereka menaiki bas yang disewa khas untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim setelah pulang bercuti sempena Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing.

Sementara Perodua Alza dinaiki Mohd. Lutfi dan isteri, Nurul Ain Zakaria, 36, dan dua anak mereka, Nur Aisyah Nafishah, 6, serta Muhammad Ahsan Nafis, 2, berpusing beberapa kali setelah dilanggar bas terbabit dari arah belakang sebelum terjatuh ke dalam longkang di laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI