NEW DELHI – Seorang wanita berusia 70 tahun maut selepas dipijak seekor gajah liar di hadapan rumahnya di India, lapor portal berita New Indian Express hari ini.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6.15 pagi (waktu tempatan) di perkampungan Ammankavu, negeri Tamil Nadu semalam.
Seorang pegawai jabatan hutan berkata, mangsa dikenali sebagai P Lakshmi, diserang ketika mencuci peralatan di sebuah bangsal berhampiran kuarters buruh yang didudukinya.
“Mangsa cuba melarikan diri, namun dia tergelincir dan terjatuh di pintu masuk rumahnya. Gajah itu memijaknya hingga mati,” katanya.
Mayat Lakshmi diserahkan kepada keluarganya selepas bedah siasat dilakukan. – AGENSI