KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik pengumuman beberapa langkah pro-rakyat oleh Perdana Menteri menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, namun menegaskan pelaksanaannya perlu dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk bantuan tunai RM100 menerusi Sumbangan Asas Rahmah (Sara), penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, cuti umum tambahan serta peningkatan peruntukan Jualan Rahmah Madani kepada RM600 juta.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW melihat langkah tersebut sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.
“Kami percaya langkah ini mampu memberi sedikit kelegaan kepada golongan yang terkesan, khususnya dalam suasana ekonomi yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, MCW menegaskan keberkesanan semua langkah berkenaan amat bergantung kepada pelaksanaan yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab.
“Setiap sen wang rakyat mesti disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak tanpa berlaku ketirisan, penyelewengan atau manipulasi sistem,” ujarnya.
Dalam masa sama, MCW turut menyeru agar kerajaan tidak hanya bergantung kepada bantuan bersifat ‘one-off’ atau jangka pendek semata-mata, sebaliknya mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan mampan untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Tambahnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kestabilan harga barangan asas, isu pendapatan rendah serta pekerjaan tidak menentu, dan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
“Rakyat hari ini mengharapkan lebih daripada sekadar bantuan tunai. Mereka mahukan penyelesaian jangka panjang serta sistem pentadbiran yang berasaskan amanah, kecekapan dan integriti,” katanya.
MCW juga komitmen untuk terus memantau pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan menyuarakan kepentingan rakyat ke arah membina sebuah negara bebas rasuah, adil dan berdaya tahan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan berita baik itu diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini. – KOSMO! ONLINE