KAJANG – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui lemas di dalam Tasik Bukit Enggang, Sungai Long, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa ditemui seorang lelaki tempatan yang sedang memancing di kawasan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) digerakkan ke lokasi bagi membantu menaikkan mayat yang terapung di tengah tasik dengan anggaran jarak 3 meter dari tebing.
“Hasil siasatan mendapati si mati adalah seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dilaporkan hilang di Puchong pada 17 Julai lalu.
“Polis turut menjumpai sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan helmet warna hitam yang diletakkan di tepi jalan berdekatan Monkey Canopy, Sungai Long dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa yang berpakaian lengkap dibawa ke Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah mati kerana lemas.
“Pemeriksaan ke atas fizikal mangsa tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” jelasnya.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai boleh menghubungi Ketua Polis Balai Sg. Long Sarjan Abang Faizul Abang Bujang di talian 012-9208851. – KOSMO! ONLINE