BEBERAPA minggu selepas mengubati kerinduan peminat di atas pentas konsert tribute Black Sabbath di Birmingham England, legenda muzik heavy metal Ozzy Osbourne meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Merupakan antara perintis muzik heavy metal, pemergian Osbourne yang mencipta populariti bersama band Black Sabbath sejak 1968 diumumkan keluarga melalui hantaran Instagram (IG), hari ini.
“Dengan kesedihan yang tidak mampu digambar dengan kata-kata, kami (keluarga) terpaksa menyampaikan berita bahawa Ozzy Osbourne kesayangan kita sudah meninggal dunia pagi ini.
“Ketika menghembuskan nafas terakhir, beliau bersama keluarga dan dikelilingi dengan penuh rasa kasih sayang,” demikian hantaran terbaharu Instagram Osbourne.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi bagaimana dan apa punca mendiang Osbourne meninggal dunia.
Bagaimanapun, mendiang Osbourne dilapor mengalami pelbagai masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Osbourne meninggalkan isteri, Sharon dan tiga anak mereka, iaitu Kelly, Jack dan Aimee.
Penyanyi yang diberi julukan ‘Putera Kegelapan’ itu juga meninggalkan dua anak lain, iaitu Jessica dan Louis, hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Thelma.
Mendiang Osbourne berkahwin dengan Sharon pada 1982, yang bertindak sebagai pengurus kerjaya solonya.
Osbourne menghembuskan nafas terakhir 17 hari selepas beliau bersara daripada persembahan pentas.
Pada 5 Julai lalu, Osbourne bersatu semula dengan ahli asal kumpulan Black Sabbath buat kali pertama sejak 2005, dalam konsert perpisahan, Back to the Beginning di Birmingham walaupun dalam keadaan berkerusi roda.
Berkongsi perasaan di pentas pada malam itu, Osbourne berkata: “Saya sudah terlantar selama enam tahun, kamu takkan faham macam mana perasaan saya.. Terima kasih dari lubuk hati saya,” katanya merujuk kepada masalah kesihatan serius termasuk Parkinson.
Menyorot kejayaan Black Sabbath, kumpulan tersebut bersama mendiang mencetus revolusi dalam muzik rock Britain pada era 1970-an.
Mendiang Osbourne menghasilkan 13 album studio dengan yang terakhir diberi judul, Patient Number 9 terbitan 2022.
Terkenal dengan aksi pelik di pentas, pada 1982, Osbourne dilapor menggigit kepala seekor kelawar mati yang disangka ‘props’ pentas pada persembahan di Iowa. Beliau dilapor terpaksa mendapatkan suntikan rabies sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau juga pernah dilapor menggigit kepala dua ekor merpati ketika mesyuarat dengan syarikat rakaman pada 1981.
Pada era 1980-an dan 1990-an, Osbourne mencapai beberapa kejayaan di carta UK dengan lagu seperti Bark at the Moon (1983) dan Perry Mason (1995).
Ozzy dan keluarganya muncul dalam siri TV The Osbournes dari 2002 hingga 2005, iaitu dokumentari realiti yang menyingkap kehidupan seharian mereka penuh kekecohan dan jenaka kasar, yang meraih kejayaan besar serta memenangi Emmy pada 2002.
Pada 2013, lama bebas najis dadah, Osbourne mengaku kembali ke tabiat lama selama setahun setengah tetapi berazam untuk pulih semula.
Pada 2020, Osbourne mengumumkan diagnosis Parkinson dan menjalani pembedahan tulang belakang pada 2022 selepas terjatuh pada 2019.
Dalam temu bual bersama The Guardian pada Mei 2025, beliau mengakui menjadi murung: “Setiap pagi bangun dengan masalah baharu. Rasanya macam takkan habis.”
Pemergian Osbourne diratapi teman seperjuangan dan peminat di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE