ALOR SETAR – Semakan semula tarif air yang akan dibuat di negeri ini dijangka tidak melebihi lima sen bagi setiap meter padu bertujuan menampung caj bekalan elektrik untuk menyediakan air bersih kepada pengguna.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kira-kira 60 peratus kos untuk membekalkan air terawat adalah bekalan elektrik dan sebarang kenaikan tarif akan menyebabkan operator air tertekan ekoran kos terlalu tinggi.
Katanya, sebagai contoh, Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu membelanjakan RM128 juta setahun hanya untuk membayar bil elektrik.
“Elektrik naik setiap tahun tetapi air tak boleh naik, jadi ia akan mendatangkan kesan besar kepada operator air. Saya fikir perlu ada penyelarasan dalam usaha kita membekalkan air bersih untuk menampung kos elektrik yang semakin meningkat dicampur kos-kos lain.
“Hal ini supaya kita tidak bankrap, maka di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM), SADA telah membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk melakukan kenaikan. Saya tak tahu berapa sen tapi saya rasa tidak lebih daripada lima sen,” katanya selepas melancarkan logo Sukan Kedah Darul Aman (Sukda) ke-7 2025 di sini hari ini.
Menurutnya, kali terakhir tarif air disemak adalah pada 2012 iaitu berlaku kenaikan sebanyak 10 sen bagi setiap meter padu ketika itu.
Jelasnya, caj penggunaan air minimum yang ketika ini dikenakan pada kadar RM6 juga berkemungkinan akan dinaikkan RM1 kepada RM7, namun bergantung kepada kelulusan yang diberikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Muhammad Sanusi berkata, selain caj elektrik, kos menyalurkan bekalan air terawat juga merangkumi tenaga kerja, bahan kimia untuk rawatan dan penyelenggaraan infrastruktur.
Katanya, struktur kawal selia yang dilaksanakan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) apabila aset bekalan air negeri sudah dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebagai sebahagian usaha penyusunan semula hutang air negeri.
“Dulu Kedah ada hutang air RM2.3 bilion, selepas WSIA, semua aset diambil alih PAAB dan kerajaan negeri hanya bayar sewa pajakan yang dikira sebagai bayaran hutang balik. Operator air pula mesti 100 peratus milik kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya, mana-mana syarikat swasta juga tidak boleh mengambil alih syarikat operator air negeri, justeru dakwaan kononnya kerajaan negeri bercadang melepaskan pegangan dalam SADA adalah tidak berasas. – KOSMO! ONLINE