SUNGAI BULOH – Seorang bayi lelaki berusia 19 bulan meninggal dunia disyaki akibat digigit haiwan liar dalam kejadian di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 pagi.
“Doktor bertugas memberikan bantuan pernafasan, namun tiada tindak balas. Bayi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.14 pagi.
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan calar dan luka di kepala serta badan. Bayi itu dibawa ke hospital oleh ibu bapanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bapa mangsa yang berusia 31 tahun turut membuat laporan polis dan memaklumkan kejadian berlaku ketika dia dan isterinya pulang dari tempat kerja pada pukul 8.15 pagi.
“Setibanya di rumah, pasangan itu mendapati pintu terbuka dan bayi mereka tiada di dalamnya.
“Selepas mencari di kawasan sekitar, mereka menjumpai bayi itu kira-kira 20 meter dari rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.
“Mangsa dipercayai tinggal bersama bapa saudaranya ketika kejadian. Lelaki itu hanya menyedari kehilangan tersebut selepas terdengar jeritan ibu bapa mangsa,” katanya.
Mayat bayi itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE