KUALA TERENGGANU – Padah menawarkan perkhidmatan urut dan seks kepada pelanggan lelaki, seorang jurusolek lelaki yang berwatakan lembut dikenakan denda RM4,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini.
Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Haikal Izzuan Adun, 20, yang berasal dari Ketereh, Kelantan membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Tertuduh didakwa menggalakkan orang ramai melakukan maksiat dengan menawarkan perkhidmatan urut dan seks menerusi aplikasi MiChat.
Berdasarkan fakta kes, risikan membawa kepada serbuan di sebuah inap desa yang menemui tertuduh bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya pada pukul 11.30 malam, 2 Oktober 2024.
Sewaktu ditahan, dia ditemui dalam keadaan bertudung bawal, tidak berbaju cuma berkain batik dan bersolek.
Muhammad Haikal Izzuan didakwa mengikut Seksyen 42 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh yang dijaga neneknya sejak kecil dalam rayuannya memohon maaf dan berjanji tidak mahu mengulangi kesalahan sama.
“Jangan penjarakan saya. Kalau buat lagi tangkap saya. Beri peluang untuk saya berubah,” katanya. – KOSMO! ONLINE