KUALA LUMPUR – Penutupan jambatan menghubungkan ke laluan Desa Pandan, selain isu penjaja antara perkara yang akan dibincangkan menerusi mesyuarat berkaitan projek pelebaran jalan di kawasan tersebut yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Mesyuarat berkenaan melibatkan pihak-pihak seperti Parlimen Titiwangsa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS) Selangor termasuk pasukan teknikal.
Ahli Parlimen Titawangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu antara keputusan bersama selepas pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif di Desa Pandan hari ini.
“Kita bincang dengan Datuk Bandar bahawa keputusan nak tutup (jambatan). Mungkin motosikal, basikal dan pejalan kaki boleh lalu. Tapi kita akan bincang (dalam mesyuarat akan datang) sebab ini juga melibatkan perparitan (JAS Selangor).
“Di Desa Pandan ini ada 43 blok perumahan, sekolah juga berdekatan dan di sini perumahan kos rendah. Banyak penduduk di sini (dan anak mereka) pergi sekolah jalan kaki.
“Jambatan di sini juga kita buat (pada mulanya) untuk motosikal dan pejalan kaki, namun selepas beberapa tempoh, ia turut dilalui lori dan kenderaan lain. Tempat ini juga sering berlaku kemalangan disebabkan curam (jambatan) tersebut sedangkan kita ada jalan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi mesyuarat bersama dengan pihak-pihak terlibat di Desa Pandan di sini hari ini.
Berkenaan isu penjaja pula, Johari memberi jaminan mereka yang terlibat dengan projek pelebaran jalan di Desa Pandan tidak akan dirobohkan dan pihaknya dijangka berbincang lanjut di dalam mesyuarat itu untuk memberikan lesen di bawah DBKL.
“Cuma Datuk Bandar ada maklumkan, struktur dibuat ini di atas tanah seolah-olah macam kedai, bukan macam penjaja. Ada (binaan) batu semua. Jadi Datuk Bandar akan lesenkan tempat ini, tetapi dengan syarat kena ikut susun atur.
“Ada beberapa perkara akan kita bincang dengan Datuk Bandar untuk nampak tempat ini kelihatan bagus. Kita pun faham Datuk Bandar baru dilantik setahun dan banyak perkara berlaku sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, justeru pihaknya akan mencari situasi ‘menang-menang’ sekali gus memberi keselesaan kepada semua pihak susulan projek pelebaran jalan di Desa Pandan.
“Kita ada ‘win-win situation’ (menang-menang). Nak lebar jalan? Memang kita nak, tiada pilihan. Kita nak jalan ini selesa, orang jalan kaki ke kawasan penjaja.
“Datuk Bandar juga pesan pada saya, DBKL akan buat penguatkuasaan, (misalnya) jika kawasan tidak boleh letak kerusi dan meja di tepi jalan, kemungkinan akan diambil tindakan,” katanya.
Johari berkata, pihaknya juga mahu membantu penjaja yang terlibat untuk mematuhi peraturan dan kebersihan kawasan perniagaan mereka.
“Dulu ada jabatan mahu membuat sanitasi (kawasan penjaja) memandangkan parit sudah berbau. Mereka tunggu lama untuk buat sehingga minta tolong saya untuk tutup (perniagaan penjaja) yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE