PETALING JAYA – Bapa mentua Ismanira Abdul Manaf memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini menantu serta anak lelakinya tidak pernah mengabai Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.
Zahari Mohd. Reba, 57, berkata ini kerana beliau mengakui bahawa Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahari adalah ibu bapa yang bertanggungjawab dan sangat menyayangi Zayn.
“Jadi saya tidak percaya berkaitan pengabaian yang didakwa dan saya juga percaya kepada anak dan menantu saya tidak terlibat membunuh arwah Zayn,” katanya.
Pada masa sama, Zahari turut memaklumkan kasih sayang dan layanan Ismanira dan Zaim Ikhwan terhadap Zayn dan adiknya, Zahin Mateen juga sama rata dan tidak berbelah bahagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keakraban dengan cucu sulunya itu, saksi itu memaklumkan dia dan cucunya sangat rapat.
“Bila hari Sabtu atau Ahad dan bapa serta ibu (Zayn Rayyan) tidak bekerja saya akan pastikan mereka datang ke rumah dan bermesra,” kata saksi itu lagi.
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Dr. Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Semasa prosiding Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE