SUBANG JAYA – Seorang daripada empat suspek yang disyaki melarikan pemuda dengan lori di Jalan Persiaran Puchong Permai, di sini, semalam berjaya ditahan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati motif kejadian itu adalah berkaitan masalah hutang.
“Suspek memiliki dua rekod jenayah dan mempunyai tatu ahli kumpulan kongsi gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek direman selama empat hari sehingga 26 Julai ini. Polis giat mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 365 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis mengesan beberapa individu dipercayai melarikan seorang lelaki dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Puchong Permai.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Balai Polis Bukit Puchong atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor G. Dinesh di talian 011-33094457. – KOSMO! ONLINE