fbpx
Hisyam percaya Fazura (kanan) sekadar memberi penghargaan terhadap dirinya menjalani hidup sebagai seorang bapa tunggal.

‘Fazura puji mungkin sebab tengok cara saya layan anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dipuji aktres Fazura, pelakon Hisyam Hamid percaya wanita itu sekadar memberi penghargaan terhadap dirinya menjalani hidup sebagai seorang bapa tunggal.

Malah, Hisyam, 40, mengakui kata-kata manis tersebut dizahirkan secara terbuka tanpa sebarang niat lain selepas pelakon terbabit melihat caranya melayani kedua-dua anaknya.

“Saya tengok video siaran langsung itu, dia (Fazura) cerita pun secara umum dan kebetulan kami pernah berlakon sama.

“Mungkin sebab dia tengok cara saya layan anak-anak menyebabkan dia puji daripada sudut itu. Saya tidak rasa dia ada niat lain, kadang-kadang peminat jadi teruja dengan perkongsian tersebut.

“Bagi saya tiada isu pun kalau nak puji sesiapa, lebih-lebih lagi kebaikan yang dibuat sebagai seorang ayah atau ibu,” katanya kepada Kosmo! Online pada tayangan perdana filem Memori, semalam.

Pada masa sama, pelakon drama Andai Tiada Dia itu berkata, status dirinya dan Fazura sebagai ibu bapa tunggal menyebabkan ramai mula menjodohkan mereka.

“Saya rasa isu ‘dikenenkan’ (digosipkan) dengan artis wanita adalah kerana status kami sama sebagai ibu dan bapa tunggal.

“Saya rasa sebab status membuatkan jadi begini, sebelum ini tidak ada pun. Saya pun tak boleh nak buat apa.

“Tapi kalau boleh saya mahu elak daripada sebarang kontroversi,” ujarnya lagi.

Kongsinya lagi, anak-anaknya mula membiasakan diri terhadap gosip yang membabitkan dirinya sehingga sanggup melarangnya berkahwin lagi.

“Ada sekali bila dah dikenenkan dengan seorang artis, saya tidak mahulah sebut siapa. Anak saya DM (mesej langsung) hantar link artikel dan cakap ‘ayah, run! (lari).

“Tapi saya anggap itu satu gurauan. Anak-anak sudah mula untuk belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kami sekarang ini.

“Anak lelaki saya pun ada kata saya tak perlu kahwin kerana sudah ada segalanya tetapi mak saya menegur cakap tak baik kata macam itu sebab saya masih muda,” jelasnya.

Hisyam menegaskan bahawa keluarganya sentiasa menjadi keutamaan malah seboleh-bolehnya mahu menjaga nama baik demi anak-anak.

“Sejak dulu siapa yang kenal saya tahu keluarga adalah keutamaan. Kalau lihat saya tiada kontroversi sebelum ini bukan kerana saya baik tetapi mahu jadi contoh terbaik buat anak-anak.

“Lagipun mereka dah besar dan sudah ada kawan-kawan yang kenal siapa saya. Kesihatan mental mereka adalah keutamaan saya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Fazura berkongsi pandangan terhadap beberapa pelakon lelaki di Malaysia menerusi siaran langsung TikTok dan menyifatkan Hisyam seorang yang baik dan mempunyai ciri lelaki pentingkan keluarga.

Malah, dia memaklumkan senang bekerja dengan Hisyam menerusi filem lakonan mereka iaitu Dendam Pontianak.

Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati Hanafi pada 2006, namun ikatan perkahwinan itu terlerai selepas mereka bercerai pada Mei 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 18, dan Haydeen, 16 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI