ATHENS – Gelombang haba yang melanda Eropah Selatan memaksa pihak berkuasa Greece menutup lokasi pelancongan purba terkenal, Acropolis, ketika kebakaran hutan merebak di Itali, Sepanyol dan negara-negara Balkan, lapor portal berita MailOnline.
Suhu meningkat kepada 44 darjah Celsius di ibu kota Greece, Athens dalam apa yang menjadi gelombang haba ketiga pada musim panas kali ini.
Ia mendorong penutupan Acropolis yang merupakan tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Suhu tinggi itu juga menyebabkan peraturan baharu yang ketat diwujudkan untuk melindungi pekerja-pekerja daripada panas terik.
Dalam pada itu, di negara-negara Balkan, anggota-anggota bomba bergelut untuk mengawal kebakaran berganda yang mengancam rumah, hutan, alam semula jadi dan kawasan pelancongan.
Sepanyol dan Itali juga berada dalam cengkaman kebakaran yang merebak pantas serta telah menyebabkan berpuluh-puluh ribu hektar tanah gersang musnah. Sicily dan Malaga adalah antara yang paling teruk terjejas.
Sementara itu, bahagian utara benua Eropah bergelut dengan cuaca ekstrem berbeza ketika ribut yang membawa maut, puting beliung dan hujan batu membadai Perancis serta Jerman.
Puting beliung membadai sebuah lapangan terbang di tengah Perancis, meninggalkan kesan kemusnahan ketika hujan batu sebesar bola golf melanda selatan Jerman. – AGENSI