PETALING JAYA – Warga Palestin yang berada dalam negara ini dinasihatkan mengamalkan gaya hidup berprofil rendah bagi mengelak daripada menjadi sasaran terpilih kumpulan perisikan asing.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, ia bagi menjamin keselamatan warga Palestin yang menetap di Malaysia.
Menurutnya, terdapat insiden yang sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disyaki didalangi agensi perisikan asing.
“PDRM mengesan dua kes yang dilaporkan iaitu kes penculikan warga Pakestin dan kes memiliki enam pucuk senjata api yang didalangi kumpulan ini.
“Pelbagai mekanisme telah diambil bagi memantau kemasukan warga asing di pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khalid berkata, PDRM juga menjalinkan kerjasama erar dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta polis antarabangsa (Interpol).
Selain itu, katanya, perhatian serius turut diberikan terhadap kawalan keselamatan warga asing yang tinggal lama di negara ini.
“Ini termasuk mereka yang bermastautin atau berada di atas urusan pekerjaan seperti perunding asing.
“Mana-mana pihak diminta melaporkan kepada pihak polis sebarang perlakuan yang mencurigakan ke atas mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE