fbpx
SEBAHAGIAN ganja yang ditahan bersama dua beradik di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada bulan lalu. Foto ihsan JKDM KEDAH

Dua beradik dicekup seludup bunga ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Taktik licik tiga lelaki menyeludup dadah jenis ganja bersama muatan sayur selain menggunakan pengangkutan awam gagal apabila mereka dicekup dalam dua tangkapan berasingan, bulan lalu.

Tangkapan melibatkan pemandu lori berusia 48 tahun serta dua beradik itu dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 26 Jun dan 28 Jun lepas.

Dua beradik yang ditahan berusia 21 dan 24 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pencuci bangunan dan pekebun.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, kes pertama melibatkan cubaan menyeludup 18.75 kilogram (kg) ganja menggunakan sebuah lori jenis Nissan di kawasan pemeriksaan kenderaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Import Eksport Kompleks ICQS kira-kira pukul 10.10 malam, 26 Jun lalu.

“Bertindak atas Operasi Barrier, sepasukan Pegawai Kastam Cawangan Collaborated Border Management (CBM) Bukit Kayu Hitam menjalankan pemeriksaan ke atas lori dipandu seorang lelaki.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas lori tersebut, pasukan menjumpai kotak disorok di bahagian belakang tempat duduk pemandu yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan rapi terhadap lori dan barang dagangan yang dibawa didapati di dalam dua kotak berkenaan terdapat bungkusan plastik lut sinar yang disyaki dadah jenis ganja seberat 18.75 kg bernilai RM57,187.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup masuk dadah bersama muatan dagangan sayur-sayuran pada lewat malam dengan andaian tidak akan diperiksa oleh pihak kastam dan akan mendapat pelepasan terus di pintu masuk sempadan negara,” ujarnya.

Sementara kes kedua, kata beliau, ia melibatkan penahanan dua beradik bersama 15.47 kg bunga ganja hasil pemeriksaan ke atas sebuah bas di Cawangan Pemeriksaan Penumpang Kompleks ICQS kira-kira pukul 4.50 petang, 28 Jun lalu.

“Kedua-dua suspek memasuki Malaysia dengan menaiki bas ekspres dari negara sempadan melalui laluan bas ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Hasil imbasan bagasi yang dilakukan menggunakan mesin pengimbas ke atas bagasi menemukan beberapa bungkusan mampat yang dibalut dengan plastik hitam disyaki dadah jenis ganja,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan rapi terhadap bagasi-bagasi yang dibawa oleh kedua-dua lelaki terbabit menjumpai 15 bungkusan kecil pelbagai saiz ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 875.30 gram bernilai RM86,522.40.

“Turut ditemukan 87 bungkusan pelbagai saiz ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja seberat 14.5991 kg bernilai RM45,257.03,” jelasnya.

Tambahnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyeludup dadah ke negara ini menggunakan pengangkutan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI