fbpx
Anggota perubatan merawat seorang kanak-kanak yang cedera di Bandar Gaza pada 24 April lalu. - AFP

Doktor, petugas kemanusiaan di Gaza pengsan akibat kelaparan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR GAZA – Berpuluh-puluh kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk doktor dan petugas kemanusiaan pengsan ketika bertugas di Gaza akibat kelaparan serta keletihan, lapor portal berita Arab News.

Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, pihaknya menerima berpuluh-puluh mesej kecemasan daripada kakitangan yang menggambarkan keadaan kritikal di wilayah itu. 

“Tiada siapa yang terkecuali. Doktor, jururawat, wartawan dan pekerja kemanusiaan sedang kelaparan. 

“Ramai kini pengsan kerana lapar dan letih semasa menjalankan tugas, termasuk melaporkan kekejaman atau mengurangkan penderitaan penduduk,” kata Lazzarini dalam satu kenyataan yang dikongsikan semasa sidang akhbar di Geneva, Switzerland. 

Beliau turut mengkritik skim agihan bantuan disokong Amerika Syarikat, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GFH) sejak Israel menamatkan sekatan 11 minggu untuk membekalkan bantuan sejak akhir Mei lalu. 

“Skim agihan GFH adalah satu perangkap maut. Penembak melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai seolah-olah mereka diberi lesen untuk membunuh,” katanya. 

Lebih 1,000 penduduk terkorban ketika mereka cuba menerima bantuan makanan sejak akhir Mei lalu, demikian menurut anggaran UNRWA. 

Sementara itu, jurucakap PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyatakan bahawa dakwaan mengenai PBB telah berhenti bekerja adalah tidak benar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI