PETALING JAYA – Aksi serba tidak menjadi dipamerkan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka China.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou hari ini, bekas gandingan No. 1 dunia itu terpaksa akur tewas 21-15, 15-21, 17-21 kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.
Meskipun memulakan perlawanan dengan kemenangan set pertama, namun juara bertahan itu gagal mengekalkan aksi konsisten pada dua set berikutnya sebelum tewas dalam tempoh 56 minit.
Sze Fei menjelaskan, dia dan Izzuddin sudah memberikan segala-galanya pada perlawanan itu tetapi lawan menampilkan aksi lebih baik dan layak untuk melangkah ke pusingan kedua.
“Saya fikir kami sudah memberikan yang terbaik pada perlawanan hari ini (semalam), namun pemain lawan mempamerkan corak permainan lebih baik. Mereka ada kelebihan dalam aspek tiga pukulan pertama.
“Memang mereka menguasai sepenuhnya perlawanan hari ini,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.
Naib juara Terbuka Jepun minggu lalu itu pada awalnya mendahului set ketiga dengan kelebihan lima mata 13-8, namun gagal untuk menyekat kebangkitan Min Hyuk-Dong Ju yang kemudiannya melengkapkan kemenangan.
Selaku juara bertahan, kekalahan itu akan terus menjejaskan kedudukan ranking mereka, terutamanya ketika baru sahaja terlepas takhta No. 1 dunia dan jatuh ke tangga ketiga.
Gandingan yang diberi julukan DinFei itu memiliki masa lebih kurang sebulan bagi melakukan persiapan terakhir menjelang Kejohanan Dunia di Paris, Perancis bermula 25 hingga 31 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE