fbpx
NAMANYA masih asing, namun perlahan-perlahan Sadiq Jamil kini membina nama sebagai pelakon. Darah seni dalam tubuh memanaskan semangat untuk terus berjuang sebagai anak seni.

‘Detik itu buat saya betul-betul nak jadi pelakon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK disangka, detik singkat di set penggambaran ketika zaman kanak-kanak menjadi titik tolak buat pendatang baharu, Sadiq Jamil menceburi dunia lakonan.

Menyaksikan sendiri kehebatan persembahan legenda seni tanah air, Allahyarham Aziz Sattar, berkongsi pula set penggambaran bersama primadona, Datuk Sarimah Ahmad yang merupakan neneknya sendiri, semua itu satu pengalaman mahal yang tidak akan luput dari dalam ingatan kita.

Menurut jejaka berusia 27 tahun itu, momen melihat sendiri kehebatan Allahyarham yang juga mesra dipanggil Pak Ajis menukar emosi dalam satu babak lakonan secara langsung di hadapan orang kampung, telah meninggalkan kesan mendalam dalam jiwanya.

“Saya tergamam tengok Pak Ajis berlakon. Dia gelak, kemudian tiba-tiba menangis. Satu kali ‘take’ sahaja dan satu kampung tepuk tangan. Saya terus rasa, saya nak jadi macam dia.

“Dari kecil saya ikut ayah ke set dan tengok nenek dalam televisyen, tapi ‘turning point’ saya bila tengok Pak Ajis di depan mata. Itulah detik yang buat saya betul-betul nak jadi pelakon,” katanya ketika ditemui HibGlam semasa penggambaran naskhah Puteri Kelas Atas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, baru-baru.

Mengimbas kenangan bersama Allahyarham Pak Ajis, anak kepada pengarah M. Jamil itu turut mengakui sewaktu kecil tidak pernah menyangka betapa bertuahnya dapat membesar di sekeliling tokoh-tokoh seni tanah air dan kini menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu keistimewaan yang amat disyukuri.

“Dahulu rumah nenek memang selalu dikunjungi Pak Ajis, Pak Sudin dan lain-lain. Masa kecil saya tak sedar semua itu. Sekarang baru saya rasa sangat bertuah.

“Sekarang bila tengok balik, saya sedar bukan semua orang dapat peluang tengok legenda-legenda ni beraksi depan mata sejak kecil. Itu jadi pembakar semangat saya sampai hari ini,” tambahnya.

Tampil dengan naskhah baharu, Puteri Kelas Atas, Sadiq menyifatkan watak antagonis lakonannya kali ini ini sangat mencabar emosi. Pengalaman di set juga banyak membantunya mengukuhkan keyakinan sebagai pelakon.

Puteri Kelas Atas

“Saya rasa hubungan dan keserasian semua pelakon dan kru sangat baik. Walaupun dalam set saya bawa watak berat, di luar set kami selesa dan boleh bergelak tawa tanpa rasa kekok,” tambahnya.

Berikutan sering diberi peranan antagonis, Sadiq sebenarnya teringin melakonkan watak santai dan berbeza daripada karakter jahat yang sering dipertontonkan sebelum ini.

“Kalau boleh, saya nak bawakan watak yang lebih relaks, normal. Watak orang kampung pun saya okey.

“Saya terbuka untuk terima apa-apa cabaran tapi dalam hati tetap ada keinginan nak cuba sesuatu yang lebih ringan,” ujarnya.

Sebelum ini juga, keputusan Sadiq terjun ke dunia lakonan tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada neneknya memikirkan kesukaran dunia lakonan.

Kesungguhan yang ditunjukkan Sadiq bagaimanapun mencairkan hati bintang Dayang Senandung itu sehingga menjadi penonton setia setiap lakonannya.

Sementara itu, naskhah Puteri Kelas Atas lakonan Safiq berkisarkan seorang puteri raja yang merahsiakan identiti dan hidup sebagai pelajar biasa di sebuah sekolah berasrama penuh.

Selain Sadiq, drama yang bakal disiarkan menerusi saluran Viu tersebut turut membariskan pelakon lain termasuk Azri Safix, Emma Sofea, Razin Qidran, Jay Iskandar, Mokhtar Mohsin dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI