PETALING JAYA – Usahawan terkenal, Bonda Rozita Ibrahim telah membela dua ekor anjing baka ‘German Shepherd’ (K9) bagi menjaga kediaman mewahnya yang terletak di puncak bukit Batang Kali di Selangor.
Menerusi perkongsian di media sosial, beliau yang dikenali Bonda Rozita memaklumkan bahawa anjing berkenaan dibela bagi menjaga kediamannya yang terletak di kawasan ladang luas di puncak hutan.
“Bonda pelihara anjing untuk tujuan keselamatan dan ladang yang luas di puncak hutan.
“Anjing cerdik ini adalah lambang keberanian yang tidak boleh digugat, besar bagai serigala, penyayang, penjaga yang baik. Ia adalah anjing yang digunakan anggota penguat kuasa dalam tujuan siasatan dadah, pembunuhan ataupun mengejar suspek,” tulisnya dalam ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Menurutnya, dua ekor anjing berusia lapan minggu itu diberi nama Inddy dan Izzy, masing-masing seberat 14kg dilengkapi sijil keturunan dan ‘microchip’ di dalam badan.
“Inddy dan Izzy ini ada sijil keturunannya, sekiranya ada orang nak curi, di dalam badan mereka ada ‘microchip’,” tambahnya.
Bonda Rozita turut mendedahkan perlu memiliki lesen khas sebelum memelihara anjing K9 memandangkan anjing berkenaan sangat garang meskipun ia sangat setia kepada pemilik.
“Sebelum beli anjing ini, kena ambil lesen dahulu. Untuk menjinakannya juga, saya dan suami sering bawa anjing ini berjalan kenal kawasan dan isi rumah.
“Suami saya akan mandi air tanah sertu jika dia memegang anjing ini selepas dua jam menguruskan mereka setiap hari,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE