BALIK PULAU – Seorang bapa berusia 52 tahun ditahan kerana disyaki mencabul anak gadisnya sejak dua tahun lalu di rumah mereka di sini.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika gadis itu baru berusia 13 tahun dan mangsa kini berusia 15 tahun, malah kejadian terbaru berlaku pada 8 Julai lalu.
Turut ditahan abang kepada gadis berkenaan yang berusia 22 tahun kerana turut disyaki telah merogol mangsa beberapa kali sejak mangsa berusia 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati kejadian terhadap mangsa berlaku ketika tiada sesiapa di rumah.
”Kejadian terbaru berlaku melibatkan bapa mangsa yang didakwa telah mencabulnya pada 8 Julai lalu.
”Kejadian terakhir rogol berlaku pada pertengahan tahun 2024, di mana perbuatan rogol tersebut dilakukan oleh abang mangsa. Kedua-dua kejadian berlaku ketika tiada ahli keluarga lain di dalam rumah,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.
”Kedua-dua suspek direman sejak Sabtu lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. -KOSMO! ONLINE.