KUALA LUMPUR – Pelari terpantas negara, Muhammad Azeem Fahmi akur gagal menaiki podium apabila meraih tempat keempat final 100 meter (m) Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman awal pagi tadi.
Lebih malang, Azeem, 21, yang mencatat 10.35 saat (s) terpaksa melihat seteru utamanya dari Thailand, Puripol Boonson menaiki podium sebagai pemenang pingat perak dengan masa 10.22 saat (s).
Ini adalah percubaan ketiga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s itu tewas kepada Puripol selepas Kejohanan Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia dan Sukan Asia Hangzhou 2022.
Pingat emas acara itu dimenanti bintang muda Afrika Selatan, Bayanda Walaza dengan catatan 10.16s, manakala gangsa menjadi milik Hiroki Yanagita dari Jepun (10.23s).
Begitupun, pujian wajar diberikan kepada Azeem apabila muncul pelari pecut pertama negara berjaya membuat penampilan di pentas final WUG.
Sementara itu, pemegang rekod kebangsaan acara 400m, Umar Osman gagal ke final apabila menamatkan separuh akhir acara tersebut di tempat keenam dengan masa 47.10 saat (s). – KOSMO! ONLINE