IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan anjing-anjing terbiar yang ditangkap telah ditanam hidup-hidup bagi melengkapkan proses pelupusan haiwan sepertimana dakwaan dalam media sosial.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatannya, Ahmad Zaiyadi Sudin sebaliknya berkata, kesemua anjing-anjing telah melalui proses put to sleep (PTS) secara berperikemanusiaan sebelum dikebumikan serta bertepatan dengan prosedur operasi standard.
Katanya, haiwan tersebut melalui proses berkenaan selepas kesemua ditangkap atas aduan orang awam dan tiada tuntutan dilakukan oleh mana-mana pihak setelah tiga hari.
“Kebanyakan aduan mengenai anjing terbiar ini adalah berkaitan kes pengadu dikejar atau digigit. Kalau didakwa ditanam hidup-hidup, anjing itu pasti akan lari semasa proses dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial kononnya anjing-anjing tersebut dibawa ke suatu tempat dan didakwa ditanam hidup-hidup, sekali gus mengundang kritikan ramai individu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) haiwan.
Ahmad Zaiyadi mengesahkan kandungan video tular tersebut yang mungkin diambil menggunakan dron, namun mempertahankan bahawa tindakan itu mematuhi amalan pelupusan serta perundangan. – KOSMO! ONLINE