fbpx
Gambar hiasan.

60 laporan polis dibuat berhubung Perhimpunan #TurunAnwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 60 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung perhimpunan #TurunAnwar, termasuk 10 laporan di ibu negara, setakat 16 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Yusof Jan Mohamad berkata, pihaknya juga telah menerima pemakluman awal daripada Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) selaku penganjur perhimpunan berkenaan.

Perhimpunan yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini dijangka menghimpunkan antara 10,000 hingga 15,000 peserta daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan masyarakat awam.

Difahamkan, peserta akan mula berhimpun di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Menurut Mohamed Yusof, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perkhidmatan pengangkutan awam, PDRM dengan kerjasama pengendali pengangkutan akan menempatkan anggota tambahan di 15 stesen LRT, MRT dan Monorel sekitar pusat bandar termasuk KL Sentral, Masjid Jamek, Merdeka, Dang Wangi, Bukit Bintang dan Chow Kit.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan perhimpunan tidak menjejaskan pergerakan pengguna serta kestabilan ekonomi.

“PDRM menjangkakan akan berlaku kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar, namun tiada penutupan jalan dilakukan. Pemantauan dan kawalan trafik tetap akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, PDRM turut menasihatkan penganjur dan peserta supaya tidak melanggar undang-undang dan mematuhi peraturan sedia ada sepanjang perhimpunan berlangsung.

Antara larangan utama termasuk membawa senjata tajam atau berbahaya, mercun, suar, sepanduk berunsur 3R (kaum, agama, raja), membuat ucapan berunsur fitnah serta membawa kanak-kanak.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI