NEW DELHI – Unit Kuasa Tambahan (APU) pada ekor sebuah pesawat Air India terbakar sejurus mendarat di lapangan terbang di New Delhi setelah ia berlepas dari Hong Kong, lapor akhbar The Sun UK.
Dalam kejadian semalam, seramai 158 penumpang turun dari pesawat jenis Airbus terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, Delhi ketika APU terbakar.
APU berfungsi menghidupkan enjin utama dan menjanakan sistem kapal semasa pesawat ditempatkan di lapangan terbang.
“Ia berlaku semasa penumpang mula turun, manakala APU ditutup secara automatik mengikut reka bentuk sistem.
“Operasi pesawat itu telah digantung untuk siasatan lanjut,” kata jurucakap Air India.
Insiden itu berlaku 24 jam selepas sebuah lagi pesawat Air India tergelincir dari landasan ketika mendarat dalam cuaca hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai.
Menurut akhbar Times of India, dalam kejadian itu, penutup enjin yang dikenali sebagai cowling rosak dan tiga tayar pecah akibat tergelincir.
Kedua-dua kejadian itu berlaku selepas sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Air India terhempas di bandar Ahmedabad, India bulan lepas, yang mengorbankan 260 orang termasuk mangsa di darat. – AGENSI