SHAH ALAM – Suasana di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, gempar seketika apabila suis soket di wad Zon Merah hospital itu terbakar petang ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.13 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas terlibat dalam operasi itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran itu melibatkan suis soket di dalam wad Zon Merah HTAR.
“Api bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh pihak hospital sebelum bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Tambah Ahmad Mukhlis, kemusnahan itu hanya melibatkan satu peratus dan tiada mangsa dilaporkan.
Terdahulu, tular satu video memaparkan kawasan wad itu diselubungi asap dan petugas kesihatan sibuk membawa keluar pesakit dari kawasan berkenaan.
Mereka antaranya di atas katil pesakit manakala yang lain termasuk yang berkerusi roda telah selamat berada di luar pekarangan wad tersebut. – KOSMO! ONLINE