TAPAH – Tiga warga emas maut dan tiga mangsa lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 328.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini pada pukul 11.40 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Toyota Vios dan Proton X50.
“Tiga mangsa di Proton X50 maut di lokasi kemalangan sementara dua lagi mengalami kecederaan. Pemandu Toyota Vios turut cedera.
“Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit. Semua mangsa yang meninggal dunia dikejarkan ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Kesemua mangsa berumur 31 hingga 77 tahun. Mangsa yang cedera dari Toyota Vios dikenali Chong Woon Seng, 31, sementara di Proton X50 ialah Chong Lin Shen , 71, dan Cheong Fook Weng yang berumur 68 tahun.
Mangsa meninggal dunia ialah Chong Ong, 77, Teh Kim Ai, 76, dan Tan Ah Tak yang berumur 70 tahun.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Johari Yahya mengesahkan kemalangan itu dan siasatan terperinci sedang dilakukan.
Katanya, kedua-dua kenderaan itu menuju ke Bidor dari Tapah. – KOSMO! ONLINE