KULAI – Seorang lelaki warga emas yang menyangka dia telah memenangi ganjaran RM1,500 berputih mata apabila dia sebaliknya kerugian RM2,380 kerana terpedaya dengan sindiket scammer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang berkata, mangsa yang berusia 87 tahun itu merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mangsa beritahu dia terima panggilan individu tidak dikenali mendakwa sebagai wakil syarikat telekomunikasi ternama tempatan, dan maklumkan terpilih memenangi ganjaran wang tunai.
“Mangsa percaya dan menyerahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, tarikh lahir dan akaun bank simpanan wang secara tepat,”katanya kepada pemberita.
Tambah Bor Yang, mangsa turut memberikan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada individu berkenaan bagi tujuan pemindahan wang ganjaran.
“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat mangsa mendapati wang dalam akaunnya telah berkurangan dan hanya berbaki RM52.
“Sehubungan itu, saya telah bantu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai,” ujarnya.
Pada masa sama, Bor Yang turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu tidak dikenali dengan tidak menyerahkan maklumat peribadi.-KOSMO! ONLINE