KUALA LUMPUR – Pemain beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei menafikan laporan yang mendakwa dia dan pasangan, Nur Izzuddin Rumsani berhasrat untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sebaliknya, pemain berusia 28 tahun itu menjelaskan, mereka gembira untuk terus bergelar sebagai pemain profesional dan berada di bawah bimbingan jurulatih sedia ada, Teo Kok Siang.
Sze Fei berkata, kejayaan mereka muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu lalu turut mengukuhkan lagi keyakinan dia dan Izzuddin untuk kekal dengan status profesional.
“Kami ingin menjelaskan bahawa kami gembira dengan status kami sebagai pasangan profesional dan kejayaan mara ke perlawanan akhir Terbuka Jepun mengukuhkan lagi keyakinan dan semangat untuk terus meningkat di bawah bimbingan Teo Kok Siang.

“Hubungan kami dengan BAM kekal baik dan kami sentiasa menghargai BAM atas sokongan yang diberikan sepanjang bersama mereka. Harap (kenyataan) ini dapat menghentikan khabar angin yang tidak benar,” tulisnya menerusi IG Story yang dimuat naik hari ini.
Terdahulu, tercetus spekulasi mengaitkan bekas gandingan No.1 dunia itu dengan kepulangan ke BAM selepas 10 bulan mereka meninggalkan badan induk berkenaan untuk bergerak secara profesional.
Sepanjang bergelar pemain profesional, Sze Fei-Izzuddin menampilkan aksi cukup cemerlang dengan memenangi beberapa kejohanan utama, termasuk Terbuka China dan Terbuka India. – KOSMO! ONLINE