fbpx
Gambar hiasan

Suri rumah serah duit KWSP RM165,201 panik dituduh terlibat jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah berputih mata setelah wang simpanannya berjumlah RM165,201 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 58 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier.

Katanya, suspek yang menggunakan nombor telefon 016-7956063 memaklumkan kononnya terdapat bungkusan mengandungi buku cek dan token emas atas nama mangsa.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bernama ‘Lee’, menggunakan nombor 010-5260467.

“Suspek telah menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Raub, akibat panik dan takut, mangsa diperdaya untuk membuat beberapa pindahan wang atas alasan untuk tujuan siasatan dan dijanjikan wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai.

Katanya, mangsa telah 26 transaksi ke empat akaun bank yang berbeza antara 15 hingga 18 Julai dengan jumlah keseluruhan RM165,201.

“Mangsa difahamkan membuat transaksi terlibat menggunakan wang simpanan peribadi serta pengeluaran daripada akaun KWSP milik mangsa.

“Setelah wang dipindahkan, mangsa diminta untuk melakukan pindahan tambahan, namun wang yang dijanjikan untuk dipulangkan masih belum diterima. Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis,” katanya.

Raub mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 58 tahun yang tampil membuat aduan di Balai Polis Larkin, di sini kelmarin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI