KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak sekiranya pendirian tegas negara terhadap keganasan di Palestin menjadikan Malaysia sebagai sasaran ejen Mossad.
Anwar berkata, susulan itu kerajaan mengambil langkah tambahan melalui Kementerian Dalam Negeri bagi mengenal pasti sebarang ancaman dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.
“Kehadiran badan-badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenalpasti.
“Taklimat terbaru yang diberi oleh Badan Perisikan Malaysia memang mereka ambil berat betul soal ini terutama setelah terbukti kehadiran mereka termasuk kes menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen ataupun yang bekerjasama dengan Mossad,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PH-Machang) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan langkah kerajaan dalam menghalang kemasukan ejen Mossad ke negara ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan isu sistem pintu automatik (autogate) pelawat asing di pintu masuk utama negara kembali beroperasi dan pulih sepenuhnya.
“Masalah autogate itu dia terkait juga dengan badan Interpol antarabangsa untuk ditingkatkan keupayaan dan Alhamdulillah setakat ini sudahpun dapat diselesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE