KUALA LUMPUR – Meskipun kempunan meraih gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu lalu, namun beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah tetap bersemangat bagi menghadapi saingan Terbuka China.
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, anak-anak buahnya kekal positif selain berikrar untuk terus menampilkan aksi konsisten pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu.
Biarpun tewas pada perlawanan akhir Terbuka Jepun kepada jaguh China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, namun beregu No.3 dunia itu sudah memberikan segala-galanya sepanjang aksi final tersebut.
“Mereka tewas kepada pasangan yang lebih baik. Pearly dan Thinaah sudah memberikan segala-galanya dan cuba untuk mempelbagaikan pukulan mereka tetapi banyak melakukan kesilapan mudah. Pertahanan dan serangan lawan juga sangat konsisten.
“Bagaimanapun, Pearly dan Thinaah sudah bermain dengan baik sepanjang minggu. Perkembangan mereka berjalan baik dan masih ingin kekal positif untuk satu minggu lagi di China nanti,” katanya.
Pada aksi final Terbuka Jepun di Tokyo Ahad lalu, bekas juara Terbuka Perancis itu terpaksa akur tewas 15-21, 14-21 kepada Sheng Shu-Tan Ning, sekali gus menjadi kekalahan kelima berturut-turut kepada pasangan berkenaan.
Walaupun tidak dapat mengalahkan jaguh China itu, namun Rosman masih memberikan pujian kepada Pearly-Thinaah kerana berjaya menamatkan badi kekalahan kepada beregu No.2 dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida di separuh akhir.
Menjelang pusingan pertama Terbuka China esok, mereka akan turun sebagai pilihan ketiga kejohanan dan dijadualkan menentang beregu junior yang juga rakan sepasukan, Carmen Ting-Ong Xin Yee. – KOSMO! ONLINE