KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap tidak sihat iaitu 201 ke atas di sesuatu kawasan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu diumumkan sebagai sebahagian daripada pelan tindakan kecemasan menghadapi jerebu bagi melindungi keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah.
“Garis panduan kita jelas. Jika bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar dilarang. Sekiranya IPU melebihi 200, PdPR akan dilaksanakan.
“Maknanya, murid-murid akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari rumah,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Digital Ultilisation and Technology Awards (DUTA) 2024.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Pendidikan telah memberi arahan dan penjelasan kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri agar mengambil tindakan segera berdasarkan bacaan IPU setempat.
Sementara itu, semakan Kosmo! pada portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua kawasan mencatatkam bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 4.14 petang ini adalah Johan Setia, Klang (154) dan Nilai, Negeri Sembilan (116). – KOSMO! ONLINE