PETALING JAYA – Pelakon Bella Astillah mencuri perhatian netizen apabila mendedahkan masih menyimpan gambar ketima pertama kali berjumpa dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd. Rahman.
Masih segar dalam ingatan, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata gambar tersebut dirakam ketika pertemuan awal mereka yang berlaku secara spontan, namun meninggalkan kenangan cukup manis.
“Paling menarik, gambar yang diambil ketika awal perkenalan kami masih saya simpan. Gambar itu masih ada sampai sekarang.
“Masa kejadian Syed Saddiq tanya khabar dan kebetulan ada telefon di tangan jadi saya ajak dia bergambar.
“Syed Saddiq pun ambil gambar guna telefon dia,” katanya menerusi sebuah program audio siar.
Lebih manis, Saddiq atau nama sebenarnya atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, 32, yang turut berada dalam sesi rakaman itu mengakui dirinya turut teruja dengan ajakan ibu dua anak itu untuk bergambar.
“Saya tak simpan gambar tu, tapi saya ingat dan gembira kerana selepas itu Bella muat naik dan tag saya dalam media sosial.
“Saya terus repost hantaran itu,” ujarnya.
Perkongsian itu nyata mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen yang melihat kedua-duanya sebagai pasangan serasi, meskipun hadir daripada latar dunia berbeza.
“Hanya orang yang kita sayang je kita simpan gambar. Dua dunia berbeza, tapi nampak macam saling melengkapi. Sweet dan harap sangat mereka berkahwin cepat,” komen seorang pengguna TikTok.
“Kalau jodoh, tak ke mana. Doa yang baik-baik sahaja, sama-sama single apa salahnya,” tulis seorang peminat.
“Bella nampak lebih tenang sejak-sejak kebelakangan ni. Mungkin dia dah jumpa ketenangan yang dicari,” ujar netizen.
Sebelum ini, pasangan berkenaan pernah mencuri tumpuan apabila muncul bersama dalam beberapa kempen jenama pakaian tempatan dan kolaborasi muzik video Tapi Bukan Denganmu, sekali gus mencetuskan fenomena digelar ‘BASS’ oleh peminat.
Fenomena dua dunia, seni dan politik itu bukan sahaja tular dalam kalangan rakyat tempatan, malah mencetuskan minat penggemar hiburan di Korea Selatan.
Lebih manis, kelibat Bella turut kelihatan menemani Saddiq dalam beberapa sesi perbicaraan mahkamah berkaitan pertuduhan jenayah amanah, sebelum ini.
Meskipun belum pernah mengesahkan status hubungan mereka secara terbuka, keluarga kedua-duanya sudah pun memberi restu andai benar ada jodoh antara mereka.- KOSMO!
ONLINE.