fbpx
Gambar hiasan.

Rundingan tarif AS tidak jejas pendirian Malaysia terhadap isu Gaza, Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tekanan atau ugutan termasuk kemungkinan dikenakan tarif tambahan 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan rakyat Palestin dan Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan dengan AS masih diteruskan, namun Malaysia kekal dengan prinsip dan tidak akan tunduk kepada tekanan termasuk berkaitan hubungan rapat dengan Iran dan sokongan terhadap Palestin.

“Tarif Malaysia masih lebih rendah berbanding Vietnam, Kemboja dan Thailand namun kita anggap tindakan AS itu sebagai unilateral dan tidak adil.

“Presiden Brazil, Lula da Silva pernah dikenakan tarif 50 peratus oleh AS kerana kelantangannya membela Gaza. Kita belum tahu hasil rundingan terakhir, tetapi Malaysia tidak akan berganjak walaupun ditekan kerana prinsip kita jelas.

“Ia adalah unilateral melanggar semua prinsip WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan perjanjian sedia ada. Pendirian Malaysia adalah berasaskan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat serta selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Malaysia pada mulanya dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, namun kemudiannya dinaikkan kepada 25 peratus.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kekal sebagai bahagian penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global, dengan kira-kira 60 peratus eksport semikonduktornya dihantar ke Amerika Syarikat.

“Sekitar 25 peratus daripada semua import barangan elektrik dan elektronik AS berasal dari Malaysia.

“Jadi, kita harap dan doa insya-Allah dapat diselesaikan dengan baik tetapi apapun kesan ataupun ugutan, bantahan mereka dalam soal pendirian kita dalam isu Palestine, Gaza atau hubungan baik kita dengan Iran itu tidak akan merubah pendirian kita tegas sebagai negara merdeka dan berdaulat menyuarakan pandangan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI