PETALING JAYA – Rakyat mula membuat pelbagai spekulasi mengenai pengumuman penting yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 10.30 pagi, esok.
Antara spekulasi utama yang hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat di media sosial termasuk penambahan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bagi golongan B40, diskaun bil elektrik dan air, pengumuman baharu berkaitan harga barangan asas selain kenaikan sekali lagi kadar gaji minumum serta penurunan harga petrol.
“Saya harap ada pengumuman tambahan bantuan Sara, harga minyak turun…sebab sekarang kos sara hidup makin tinggi. Kalau ada penambahan, ia sangat membantu,” kata Asyuraa.
Beberapa pihak turut menjangka Anwar akan mengumumkan berkaitan subsidi elektrik mahupun diskaun ke atas bil ultiliti memandangkan ketika ini cuaca panas melanda negara.
“Dapat diskaun bil elektrik, air tak esok? Cuaca panas-panas ini di rumah memang memanjang pasang ‘aircond’, bil agak tinggi. Moga baik-baik esok,” kata Mohd. Nazmi.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa teruja dan tidak sabar menantikan pengumuman yang bakal diumumkan Perdana Menteri.
“Tak sabar nak tunggu tepat pukul 10.30 pagi esok…penantian yang penuh debaran. Pastikan semua dapat baik orang kampung, nelayan, pesawah, penoreh, pekilang jangan ada yang ketinggalan,” kata Jerung Malaya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Anwar memaklumkan, beliau akan membuat satu pengumuman penting berhubung penghargaan kepada rakyat Malaysia, esok.
Menurut beliau, langkah itu adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Madani terhadap rakyat yang sentiasa bersama mendukung agenda reformasi negara. – KOSMO! ONLINE