fbpx
Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu. - Gambar Hiasan

Program pengukuhan akidah LGBT di Kelantan sudah bermula sejak 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan telah mengadakan program pengukuhan akidah dan jati diri ummah kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sejak 2019 sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, inisiatif itu digerakkan melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik).

Menurutnya, ia turut melibatkan kerjasama dengan Persatuan Aspirasi Islam, Persatuan Aspirasi Kelantan, Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (Sahabat) dan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK).

“Kita adakan program bersama golongan LGBT termasuk menganjurkan kelas fardu ain dan kelas al-Quran sejak 2019 lagi. Program tersebut terhenti seketika semasa penularan jangkitan Covid-19.

“Program itu diaktifkan semula pada Jun 2024 dengan menyediakan dua kelas setiap minggu pada Selasa dan Sabtu. Bermakna ada lapan kelas dalam masa sebulan,” katanya ketika menjawab soalan Harun Ismail (Pas – Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit memberitahu, kelas berkenaan mempunyai empat tenaga pengajar terdiri daripada fasilitator PKKSK dan melibatkan seramai 20 peserta yang terdiri daripada golongan LGBT.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat keberkesanannya apabila peserta-peserta berjaya menguasai pembacaan al-Quran dan ada yang berubah dan keluar daripada kepompong kehidupan LGBT.

“Ini antara program dilaksanakan kepada semua pihak termasuk mereka yang telah terjerumus ke lembah yang tidak baik dan kita sangat cakna mengenainya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI