KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu memberi amaran terhadap usahawan negeri ini agar tidak berselindung dengan perniagaan kosmetik dan jualan dalam talian untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, helah terbabit sukar disorok dan sudah ada kes peniaga terlibat ditumpaskan baru-baru ini.
“Jangan ingat kita tidak tahu, mereka sedang dipantau. Individu yang menyamar sebagai peniaga kosmetik atau produk kecantikan untuk edar dadah pasti akan diberkas.
“Baru-baru ini, kita menahan seorang peniaga kosmetik dikenali sebagai ‘Man Hidung’ yang menjalankan kegiatan dadah di sebalik perniagaan sah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui pada majlis penyerahan barang kes narkotik bagi program Pelupusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khairi berkata, sebanyak 56,232.43 gram dadah dan 2,572.54 liter cecair terlarang
membabitkan nilai keseluruhan RM1.1 juta yang selesai melalui proses undang-undang dilupuskan semalan.
Beliau berkata, ia melibatkan 2,999 kertas siasatan sejak tahun 2001 hingga 2025 yang sudah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan. – KOSMO! ONLINE