fbpx
Gambar hiasan.

Pesara berputih mata, wang saraan KWSP lesap ditipu ‘pegawai polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang pesara berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya berjumlah RM166,897.58 lesap akibat diperdaya sindiket panggilan telefon menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penipuan itu bermula selepas lelaki berusia 56 itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada bulan lalu.

Katanya, suspek memberitahu mangsa yang nombor telefonnya terlibat dengan pinjaman ah long sebelum panggilan telefon disambungkan kepada seorang pegawai polis dari Bukit Aman.

“Akibat panik, mangsa telah membuat pindahan wang dari akaun KWSP berjumlah RM166,897.58 ke akaun lain yang berdaftar atas nama syarikat untuk tujuan siasatan.

“Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis semalam untuk Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, Abang Zainal Abidin berkata, seorang penyelia tapak berusia 61 tahun pula mengalami kerugian RM307,315 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.

Menurutnya, mangsa membuat 14 transaksi ke enam akaun bank berbeza setelah dijanjikan pulangan pelaburan 10 hingga 20 peratus dalam masa singkat.

“Mangsa mula curiga apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya sebagai cukai sebelum keuntungan boleh dikeluarkan. Jumlah kerugian daripada kedua-dua kes ini mencecah RM474,212.58,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI