PETALING JAYA – Kerajaan berhasrat menyelaraskan proses pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) menerusi satu sistem permohonan tunggal, dengan hanya satu tawaran penempatan bagi setiap pemohon mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mengelak pertindihan tawaran, malah memastikan peluang penempatan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar yang benar-benar layak.
“Kita mahu peluang yang tersedia ini sampai kepada anak-anak dari keluarga B40, khususnya di luar bandar dan miskin bandar kerana inilah wajah sebenar keadilan sosial dalam pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pelaksanaan sistem baharu itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan antara Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dipengerusikan beliau hari ini.
Jelasnya, pemilihan pelajar akan terus menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), manakala permohonan akan dibuat secara dalam talian termasuk melalui platform MyMRSM bagi pelajar dari sekolah swasta.
“Usaha ini adalah hasil kerjasama erat antara Mara dan KPM.
“Saya percaya dengan iltizam yang kukuh dan pelaksanaan yang telus, kita (kerajaan) sedang menyusun semula ekosistem pendidikan berasrama penuh negara agar lebih mampan dan inklusif untuk generasi akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE