fbpx
Sebuah pangkalan haram di kawasan Sungai Golok dekat Rantau Panjang. - GAMBAR HIASAN.

Penyeludup guna tali tolak bot fiber seludup barang subsidi rentas Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan dikesan menggunakan tali untuk menarik dan menolak bot fiber tanpa enjin untuk menyeludup barangan subsidi semasa merentasi Sungai Golok.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, kegiatan itu dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas pihak berkuasa mengetatkan kawalan dengan menutup pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

“Tali sepanjang 10 hingga 20 meter itu digunakan untuk menarik bot fiber berisi minyak masak, petrol dan barangan subsidi.

“Bot fiber tanpa enjin digunakan kerana ia tidak mengeluarkan bunyi. Taktik itu digunakan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa terutamanya pada waktu malam melalui pangkalan haram di atas tanah persendirian,” katanya kepada pemberita selepas Op Kesan di sebuah pasar raya di Pasir Tumboh di sini hari ini.

Azman memberitahu, susulan itu PGA yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini telah bertindak memotong tali tersebut.

Katanya, KPDN Kelantan berharap orang ramai terus membantu pihak berkuasa dalam membendung aktiviti penyeludupan barangan subsidi ke negara jiran.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, seramai 141 individu yang terlibat dengan penyeludupan telah ditahan bermula Januari lalu hingga hari ini.

Katanya, ia melibatkan rampasan petrol sebanyak lebih 30,037 liter yang bernilai RM64,092 manakala 21,973.00 liter diesel dengan nilai RM62,966. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI