PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan membuat satu pengumuman penting berhubung penghargaan kepada rakyat Malaysia, esok.
Menurut beliau, langkah itu adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Madani terhadap rakyat yang sentiasa bersama mendukung agenda reformasi negara.
“Insya-Allah, esok saya akan umumkan penghargaan yang dijanjikan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Madani kepada rakyat Malaysia yang sentiasa teguh bersama dalam setiap langkah reformasi.
“Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak, dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera.” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Anwar dijadual membuat satu pengumuman khas sebagai penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia pada esok.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook berkata, pengumuman itu akan dibuat pada pukul 10.30 pagi.
Minggu lalu dalam hantaran di laman sosial, Anwar memberitahu satu pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia akan dibuat dalam masa terdekat.
Bagaimanapun ia masih menjadi tanda tanya kerana tiada penjelasan secara terperinci mengenai pengumuman tersebut, namun hantaran ringkas itu turut meletakkan tanda pagar ‘Malaysia Madani’ dan ‘Bersama Malaysiaku’. – KOSMO! ONLINE